UCAPAN RAYA TUAN PENGARAH AMBILAN JULAI DI BUKA ALASAN...ALASAN...ALASAN STAF KKLJ BERAYA SALAM PERPISAHAN JOM LIKE FACEBOOK PAGE

Friday, July 31, 2015

KAWAN DENGAN ORANG SIHAT

Assalamualaikum dan salam sejahtera!!

Kalau sebelum ini, KJ telah berkongsikan tips kewangan yang diamalkan oleh KJ iaitu


Hari ini, KJ hendak kongsikan lagi satu tips, iaitu memilih kawan…anda perlu berkawan dengan orang sihat sahaja…

Adakah kita hanya berkawan dengan orang sihat sahaja?

Bagaimana dengan orang yang sakit? Adakah kita memulaukannya?

Tidak!! Maksud KJ di sini adalah anda sentiasa bersama dengan mereka yang mempunyai KEWANGAN yang sihat, iaitu mereka yang tidak boros dan berhati-hati dalam perbelanjaannya tetapi tidak kedekut ye. Ini kerana kawan yang akan mempengaruhi kita selain daripada ibubapa.



Ini tidak bermakna anda hanya berkawan dengan orang kaya dan meminggirkan orang miskin. Orang kaya tidak semestinya mempunyai gaya hidup kewangan yang lebih sihat dari orang miskin. Anda perlu bersama dengan mereka yang mempunyai kewangan yang stabil dan tidak boros berbelanja. Apabila sentiasa berdampingan, lama-kelamaan anda akan terikut-ikut dengan cara mereka. Berbelanja dengan lebih berhemah.

Begitu juga sebaliknya, sekiranya anda bersama golongan yang boros, silap haribulan anda pula terikut-ikut tabiat yang kurang sihat itu. Ingatlah, sesungguhnya rakan itu ibarat cermin.

Thursday, July 30, 2015

MEMULAKAN BISNES

Semua orang kalau boleh hendak ada bisnes sendiri. Tetapi tahukah anda cara yang betul untuk memulakan bisnes? KJ sendiri dulu tidak minat berbisnes, tetapi selepas pegang jawatan sebagai pengurus kedai KoperasiKolej Komuniti Ledang Johor Berhad, minat untuk berbisnes itu semakin menebal. Kalau boleh KJ hendak ada syarikat sendiri dan bekerja sendiri.

Banyak yang KJ belajar sendiri mengenai bisnes ini sama ada pergi kursus, belajar dengan kawan mahupun melalui pembacaan. Proses pembelajaran bukan berlaku hanya di dalam kelas. 


 Apa yang boleh KJ kongsikan, empat langkah yang perlu dilakukan dalam memulakan bisnes

Langkah Pertama ialah memilih sasaran pasaran (target market) yang betul. Anda perlu tentukan pada siapa anda hendak menjual produk tersebut. Lagi spesifik anda dapat fokus sasaran pasaran anda, lagi bagus dan jelas anda Nampak halatuju produk anda. 



Langkah Kedua adalah pilih produk yang betul. Kita beruntung jika produk kita jenis dalam kategori produk terdesak seperti Ubat Kuat, Pil Kurus, Pil Pemutih dan lain-lain di mana kita tidak perlu bersusah payah membuat iklan kerana permintaannya tinggi.

Jika kita baru hendak memulakan bisnes dan tidak pasti tahap permintaan terhadap produk kita, kita perlu membuat statistik dan kajian terlebih dahulu. Menguji dengan cubaan menjual, melihat pasaran sama ada orang hendak beli atau tidak. Jangan membeli atau menghasilkan produk dalam kuantiti yang banyak sebelum jaminan pasaran okay. Takut ia akan menjadi stok di bawah katil sahaja. Tidak bermakna produk di sesuatu kawasan itu laris, akan turut laris di kawasan anda.

Langkah ketiga ialah menjual. Dalam proses menjual, ia akan melibatkan strategi pemasaran. Anda perlu tahu bagaimana hendak memasarkan produk anda sehingga sampai ke sasaran pasaran (target market) anda. Selain dari itu, anda perlu terus menerus proses menjual. Jangan ada perasaan mengalah atau malu dalam menjual produk anda. Anda pasti akan bertemu dengan banyak penolakan terhadap produk anda. Tidak bermakna seseorang tidak mahu produk anda, menggambarkan yang lain turut juga tidak mahu produk anda.

Langkah terakhir, membuat duit. Proses jual beli akan berlangsung dan berulang. Disini anda perlu mengumpul database dan menjana network marketing.

Nota: Untuk mendapatkan ilmu mengenai operasi perniagaan. Anda boleh belajar di Kolej Komuniti Ledang atau berhubung terus dengan kami di facebook (Sijil Pengoperasian Perniagaan)

Wednesday, July 29, 2015

SEKALI SEMINGGU

Hi apa khabar? Sihat?

Bagaimana pula dengan kewangan anda? Sihat juga? Kalau yang bekerja kerajaan, jika tidak pandai mengurus kewangan bulan Julai dan Ogos ini pasti sudah terasa ‘kesesakan’ pada ketika ini. Ini kerana gaji bulan Julai telah masuk awal dan gaji bulan Ogos lambat lagi. Harap anda tidak begitu.

 jadual gaji kakitangan awam 2015

Kalau sebelum ini, KJ telah berkongsi amalan menyimpan setiap kali mendapat duit syiling (klik SINI untuk membaca), hari ini KJ hendak kongsikan satu lagi amalan yang biasa KJ lakukan iaitu memantau dan meninjau kewangan sendiri.

KJ biasanya akan menyemak kewangan setiap hari sebelum tidur malam, sampai pernah kena sindir dengan emak KJ

“Tidur malam ni mimpi sambil tersenyumlah, sebab duit sudah banyak”

Kenapa perlu memantau kewangan sendiri? Sekurang-kurangnya anda perlu menetapkan sekali seminggu untuk melihat keadaan kewangan semasa anda. Anda perlu lihat sama ada anda telah terlebih belanja atau sebaliknya, baru tindakan susulan boleh dilakukan. Jangan dibiarkan terlalu lama tanpa pemantauan, kerana mungkin sudah terlambat untuk diperbetulkan.

Jika anda sudah terlebih belanja, anda boleh cuba mengurangkan atau menangguhkan sesuatu perbelanjaan itu, ataupun anda perlu mencari duit belanja lebih. Jangan malu atau segan untuk menyemak status kewangan anda kerana yang ‘terseksa’ adalah anda sendiri nanti. Kalau boleh, elak dari membuat sebarang pinjaman, tingkatkan dulu pengurusan kewangan anda.

Semoga tips ini dapat membantu menjadikan kewangan anda lebih ‘sihat’.


Tuesday, July 28, 2015

PENGURUSAN KEWANGAN ANDA

Kita hidup bukan kerana wang, tetapi tiada wang kita akan mengalami kesukaran dalam kehidupan.

Zaman sekarang ini, semua benda perlukan wang termasuklah untuk membuang air. Perancangan dan pengurusan kewangan amat penting dalam kehidupan seharian kita. Jadi bagaimana perancangan kewangan anda?

KJ pada mulanya sukar untuk menyimpan. Kalau gaji dapat RM 2000, RM 2000 juga akan habis. Tapi itu dulu!! Sekarang ini, KJ cuba menyimpan dengan cara menggunakan duit kertas, simpan duit syiling.

Contohnya, KJ telah tetapkan belanja harian hanya RM 10. Jadi KJ akan membeli sarapan contohnya RM 3.30. KJ membayarnya dan mendapat baki RM 6.70. Jadi yang mana duit syiling, KJ akan simpan terus dalam tabung. Hanya belanja baki duit kertas untuk satu hari itu. Esoknya pun KJ akan mengulanginya, sehingga tabung sudah penuh.


Kita pasti tidak akan sedar kita telah mendidik diri kita untuk menabung secara tidak langsung. Mungkin petua KJ ini boleh ditiru bagi orang yang sukar untuk menabung.


Thursday, July 23, 2015

MENDARAB NOMBOR DI BAWAH 10

Betul ke subjek matematik susah!!!

KJ paling suka subjek matematik. Ini pun selepas cikgu matematik KJ pernah memberitahu KJ dulu,

“Di antara subjek Bahasa Malaysia dan Matematik…. Subjek Matematik Paling senang, sama ada anda jawab betul atau salah..jika jawab semua betul, dapatlah A…jika semua salah dapat lah F….tidak macam Bahasa Malaysia, markah subjektif bergantung kepada Cikgu.. Jadi anda tidak tahu markah terus selepas menjawabnya”

KJ mungkin beruntung diajar oleh cikgu-cikgu yang kreatif. Jadi memang subjek matematik adalah subjek kegemaran KJ di sekolah dulu.

Jadi di sini KJ hendak kongsi satu kaedah matematik yang di ajar oleh cikgu KJ dulu…Bagi mendarab nombor di bawah 10. Dulu zaman sekolah KJ hafal sifir 1,2,4,5, dan 10 sahaja. Sebab itu je sifir-sifir yang mudah.

Cuba dapatkan jawapan 7 darab 8. Bagi adik-adik yang tidak menghafal sifir, ini adalah satu soalan yang susah. Pasti peluh jantan menitik apabila ditanya di dalam kelas oleh cikgu


 Tetapi, cikgu KJ ada mengajar cara yang agak mudah tapi perlu banyak latihan.

Pertama, lihat pada nombor 7 terlebih dahulu. berapa banyak lagi untuk menjadi nombor 10 (nombor rujukan kita)? Jawapannya ialah 3.

Sekarang lihat pula nombor 8, berapa banyak lagi untuk menjadi nombor 10? Jawapannya ialah 2.

Tulis jawapan ini di dalam bulatan di bawah nombor tadi.


 Kemudian tolak secara pepenjuru, pilih satu persamaan sama ada 8 – 3 atau 7 -2, kedua-duanya akan memberi jawapan yang sama iaitu 5. Kemudian darab dengan nombor rujukan kita tadi iaitu 10. Maka menghasilkan 50


Bagi mendapatkan jawapan akhir, nombor tersebut (50) perlu ditambahkan dengan hasil darab nombor di dalam bulatan (3 x 2) yang akan menghasilkan jawapan 6, Maka jawapan bagi soalan 7 darab 8 adalah 56.

Biasanya sifir-sifir yang bernombor kecil ini seperti 2 dan 3, adik-adik mesti sudah hafal. Bagaimana pula dengan nombor yang lebih besar dari 10? Itu akan KJ terangkan dalam entri akan datang. Jadi (suka )like, kongsi (share) dan ikut (follow) blog ini atau facebook KJ untuk mengetahui entri terbaru.